Kategori: Bersalin secara normal
Nama anak: Nazhan Alfarisi bin Mohd Firdaus
Tarikh lahir anak: 18 November 2010
Sebenarnya saya tak sempat pun masuk pertandingan ni tapi saya rakamkan juga pengalaman saya di blog ni untuk sekadar berkongsi pengalaman. Susah rasanya nak menang sebab banyak ibu-ibu hebat yang tabah menghadapi kesukaran menyusu badan.
Pada hari raya Aidil Adha (17-11-2010) jam 7 pagi, saya mula rasa kontraksi yang agak kerap. Lepas tu ada darah keluar
dan saya memang dah tahu itu tanda-tanda nak bersalin (melalui pembacaan). Saya dan suami terus kemas barang dan balik ke rumah mak saya di Ampang (40 minit perjalanan je). Disebabkan hari tu hari raya, sempat lagi saya makan ketupat dan rendang. Sempat lagi keluar lunch di luar dengan family. Jam 12 tengah malam tu baru la saya masuk labor room di Ampang Putri. Tapi masa tu bukaan cuma 4 cm. Saya dan suami disuruh bermalam di bilik bersalin tu. Mama, ayah dan adik-adik saya tunggu di ruang menunggu di luar wad bersalin. Mereka pun bermalam di hospital jugak. Walaupun tak boleh tidur tapi saya paksa juga tidur sekejap supaya ada tenaga untuk 'push'. Lebih kurang jam 4-5 pagi, jururawat datang bagitau yang Dr Zalina tak ada dan Dr Arun yang akan ganti. Dr Arun datang dan suruh jururawat 'induce' saya dengan pitocin dan pecahkan air ketuban. Sejurus selepas itu, sakit kontraksi semakin kerap dan kuat. Saya hanya menggenggam tangan suami sambil berzikir dan berdoa. Dapat juga la saya tidur sekejap. Saya masih dapat tahan rasa sakit tu. Sepanjang berada di wad bersalin saya hanya menjamah sekeping biskut dan separuh kurma. Tak selera nak makan sebab takut dan sakit. Jam 7.50 pagi saya terjaga dan sakit kontraksi semakin kuat. Bila kontraksi berlaku selang seminit, cepat-cepat saya suruh suami panggil jururawat. 2-3 orang jururawat pun mula buat persedian untuk saya bersalin. Saya disuruh meneran bila-bila rasa nak teran. Semakin lama semakin sakit kontraksi. Kontraksi sangat kuat dan kerap. Sampai ke tulang belakang.Suami sentiasa menemani disisi sambil berzikir di telinga saya. Lebih kurang jam 8.30 agaknya, tiba-tiba nurse cakap Dr Zalina dah sampai. Alhamdulillah lega sikit rasanya. Selepas beberapa kali 'push' (tak tau berapa kali) akhirnya jam 9.14 am lahirlah putera sulung saya dengan bantuan kiwi vacuum sebab degupan jantung bayi menurun. Dalam bilik bersalin itu jugalah saya memulakan penyusuan. Nurse memeriksa sama ada cara bayi melekap betul atau tidak. Bermula lah episod saya sebagai ibu yang menyusu. Memang sejak mengandung lagi saya telah menanam niat untuk menyusu anak sehingga berumur 2 tahun.
|
Sejurus selepas dilahirkan |
Hari pertama Nazhan dilahirkan, dia kelihatan cergas. Matanya sentiasa memerhati keadaan sekeliling. Saya kerap menyusukan Nazhan namun saya rasakan yang dia tak cukup kenyang. Tapi bila tanya nurse, nurse cakap teruskan saja menyusu. Hari kedua, susu matang masih belum keluar. Saya cuba pam susu menggunakan Medela Swing yang dibeli semasa mengandung lagi, tapi susu yang keluar hanya di paras bawah botol sahaja. Saya sedih dan stress. Boleh katakan setiap nurse yang masuk ke bilik saya tanyakan betul tak cara saya menyusu sebab saya rasa bayi macam tak kenyang. Lewat petang hari kedua itu Nazhan nampak macam tak bermaya. Asyik tidur saja. Menyusu pun sekejap saja terus tidur. Saya dan suami risau. Malam tu nurse bagi susu formula sebanyak 1 oz pada Nazhan. Esoknya, nurse beritahu kami yang Nazhan kena jaundice. Kami mengambil keputusan untuk bermalam di hospital supaya saya dapat menyusukan Nazhan dengan kerap. Saya meminta supaya nurse telefon kami setiap kali Nazhan terjaga dan menangis. Tak kira jam berapa pun, 2 pagi, 3 pagi, 5 pagi, kami tetap pergi ke nursery tempat Nazhan diberi rawatan. Susu yang dipam masih terlalu sedikit namun saya kumpulkan juga sikit demi sikit. Nazhan sangat lemah masa tu, menyusu pun dah tak larat. Sudahnya, nurse bagi susu formula lagi. Sedih kerana hajat untuk menyusu badan secara eksklusif tak tercapai. Namun, azam saya untuk menyusu badan selama yang mungkin masih belum terpadam. Hari ketiga Nazhan berada di nursery tersebut, saya dan suami pulang ke rumah mak saya di Ampang. Hanya 1 hari saya tak menyusukan Nazhan dan Nazhan diberi susu formula. Hari keempat Nazhan di hospital, kami diberi kebenaran untuk membawa Nazhan pulang. Alhamdulillah.
|
Dibawah sinaran 2 lampu UV |
Pada awal penyusuan memang sakit. Bengkak, melecet dan luka hingga berdarah, ditambah pula dengan luka jahitan perineum yang lambat sembuh. Tapi itu semua tak mematahkan semangat saya untuk terus menyusu. Sebaik Nazhan pulang ke rumah, saya dapati dia tak mahu menyusu badan. Puas dicuba banyak kali tapi dia menangis kuat-kuat. Mungkin kerana dia mengalami keliru puting. Cuma 1 hari saya tak menyusukan dia semasa dia di hospital tapi 1 hari tu sudah cukup untuk memberi masalah besar kepada kami. Seminggu saya cuba menyusukan dia tapi tak berjaya. Terpaksa lah kami memberinya susu formula. Setiap kali menyusu saya akan menangis. Bukan kerana sakit tapi kerana sedih Nazhan taknak menyusu. Saya teruskan juga mengepam susu yang sedikit. Suami beli beberapa jenis nipple puller untuk membantu tapi tak berjaya. Ibu mertua saya yang merupakan bekas bidan datang membantu. Jenuh paksa Nazhan menghisap sampai dia menangis sampai hilang suara. Saya tak sampai hati. Akhirnya, setelah 3, 4 hari berusaha, baru lah Nazhan nak menyusu secara terus. Tapi susu saya masih sedikit. Setiap kali pam saya cuma dapat tak sampai 1 oz. Mak saya agak tegas tentang berpantang, bertungku kena dua kali sehari sampai sejam lebih. Saya tak punya banyak masa untuk mengepam susu. Jadi saya tak dapat pam dengan kerap. Ditambah pula dengan stress sebab susu tak banyak. Suami sentiasa memberi galakan kerana melihatkan kesungguhan saya untuk menyusu badan. Dalam masa sebulan semasa berpantang saya mengajak suami berjumpa dengan pakar laktasi di SusuIbu.com di Bangi. Saya berjumpa dengan Puan Kamariah. Beliau mengajarkan posisi menyusu yang sesuai dan mencadangkan supaya saya menggunakan 'supplemental tube' yang disambung dengan susu perahan atau susu formula supaya bayi melekap lebih lama untuk merangsang pengeluaran susu. Setelah sebanyak 2 sesi saya berjumpa dengan beliau, saya semakin yakin untuk meneruskan penyusuan badan.
|
susu perahan semasa dalam pantang - sangat sikit |
|
pam menggunakan medela swing |
Setelah habis berpantang, saya pulang ke rumah saya di Kajang. Di rumah sendiri, baru saya dapat pam susu sekerap mungkin. Saya banyak mencari ilmu penyusuan melalui pelbagai blog-blog ibu menyusu termasuk Dunia Susu Ibu. Daripada maklumat yang saya peroleh, barulah saya sedar yang sebenarnya terlalu banyak benda yang saya tak tahu walau pun saya telah banyak membaca mengenai penyusuan badan semasa mengandung. Saya mula membuat jadual pam. Walau pun letih dan tak cukup tidur saya gagahi juga mengepam dan menyusu secara terus. Stok susu saya waktu itu sangat sedikit. Mujur saya lambat masuk kerja semula kerana menunggu surat sambung kontrak. Masa yang ada itu saya gunakan untuk menambah stok susu badan. Lama kelamaan, hasil susu perahan saya semakin bertambah, walau pun tak lah sebanyak orang lain yang sekali pam dapat berbelas-belas oz. Tapi saya tetap bersyukur.
|
semakin lama susu perahan semakin banyak |
Setelah saya kembali bekerja semula, sekali lagi saya tertekan kerana stok EBM saya tak banyak. Jadi saya terpaksa pam sekerap mungkin di pejabat. Saya cuba pam sebanyak 4 kali sehari, namun apabila kerja semakin bertambah, ditambah pula dengan 'usikan' rakan sekerja, saya kurangkan kepada dua atau tiga kali sehari. Oleh kerana saya menggunakan single pump (Medela Swing), saya mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk menghabiskan sesi pengepaman kedua-dua belah payudara. Setiap kali mengepam saya akan melihat jam dan sentiasa gelisah kerana risaukan kerja dan cakap-cakap orang. Ini mengurangkan kuantiti EBM saya. Akhirnya saya dan suami mengambil keputusan untuk membeli Medela Freestyle. Sehingga sekarang saya tidak pernah menyesal membeli pam tersebut walau pun mahal kerana saya menganggap ia sebagai satu pelaburan jangka masa panjang. Dengan double pump, saya dapat jimatkan masa sesi pengepaman dan saya dapat mengepam di mana-mana pada bila-bila masa. Tambahan pula double pumping dapat meningkatkan hormon prolaktin untuk penghasilan susu. Saya pernah mengepam susu semasa memandu kereta kerana tak sempat pam di pejabat, di stesyen minyak dan banyak tempat lagi. Kalau saya terpaksa ke kursus saya akan membawa anak dan suami saya bersama untuk saya menyusu secara terus sambil mengepam susu.
|
Stok EBM semasa kursus di Pulau Jerejak selama 4 hari |
|
Stok EBM di rumah - 3 bulan |
|
freestyle kesayanganku.. |
Saya juga kerap melakukan power pumping pada waktu malam dengan harapan penghasilan susu saya akan meningkat kerana saya tahu lebih banyak demand maka susu juga akan lebih banyak. Lama kelamaan alhamdulillah susu saya bertambah lebih daripada masa dalam pantang dahulu. Niat saya untuk meneruskan penyusuan badan selama yang boleh.
|
Hasil perahan dengan Freestyle |
|
Suami yang merupakan tulang belakang saya, sentiasa menyokong..sedang memberi EBM kpd Nazhan |
|
Kenangan terindah |
|
Menyusu di dalam Nursing Room di Alamanda..shopping tak menjadi halangan |
Sehingga kini saya masih menggali ilmu tentang penyusuan badan. Saya suka pergi ke Mom & Baby Expo, Parenthood Expo, dan sebagainya untuk mendengar seminar mengenai penyusuan di samping membeli belah ;).. Sekarang anak saya telah berumur 9 bulan dan masih menyusui. saya dapati Nazhan seorang yang bijak, aktif dan ceria. Perkembangannya pun agak cepat berbanding bayi lain. Alhamdulillah. Saya berdoa semoga Allah berikan lagi rezeki untuk anak saya. Amin..
|
Talk on Breastfeeding in public by Pn Kamariah and Dynas, Mom & Baby Expo 2011 |
No comments:
Post a Comment